Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohamd Azmi Haji Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 20 Oktober. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berkenan menerima mengadap Menteri Luar Negeri, Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Thongsavan Phomvihane yang mengadakan lawatan rasmi ke negara ini selama tiga hari.
Lawatan Tuan Yang Terutama berkenaan bertujuan untuk meningkatkan lagi kerjasama serta meneroka peluang-peluang kerjasama baharu dalam bidang-bidang yang berkepentingan bersama di antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Demokratik Rakyat Lao.
NBD dan Republik Demokratik Rakyat Lao telah mempertingkatkan hubungan kerjasama di peringkat Perkongsian Strategik semasa Keberangkatan Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Republik Demokratik Rakyat Lao pada 2023.
Kedua-dua buah negara telah mencapai perkembangan yang baik melalui kerjasama di bidang pendidikan dan pertukaran antara rakyat, serta terus memperkukuh kerjasama di bidang perdagangan khususnya di sektor pertanian.
Menyertai TYT ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Rakyat Lao ke NBD, Tuan Yang Terutama Heuankeo Sangsomsak.
Juga hadir semasa Majlis Mengadap berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof; dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.
Majlis Mengadap berkenaan berlangsung di Istana Nurul Iman.